Surah Al-Baqara
Orang-orang
(Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta
mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka
mengenal anak-anak mereka sendiri dan sesungguhnya sebahagian dari
mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui
(salahnya perbuatan yang demikian). (146) Kebenaran
(yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan
Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu
jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang
ragu-ragu. (147) Dan
bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya;
oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana
sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun
pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu. (148) Dan
dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka
hadapkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (Kaabah) dan sesungguhnya
perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu dan
(ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu
lakukan. (149) Dan
dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka
hadapkanlah mukamu ke arah Masjidilharam (Kaabah) dan di mana sahaja
kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi
(sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali
orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan
alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka dan
takutlah kamu kepadaKu (semata-mata) dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu
kepada kamu dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayat (mengenai
perkara yang benar). (150) (Nikmat
berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti
(nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu
(iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan
membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat) dan yang mengajarkan
kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan
mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui. (151) Oleh
itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu),
supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepadaKu
dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). (152) Wahai
sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk
menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan)
dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya
Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar. (153)
No comments:
Post a Comment